fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup tinggi

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 31 Julai- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Rabu, disokong oleh harga minyak mentah yang meningkat, kata peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran turut disokong oleh data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang positif, meningkatkan keyakinan terhadap penurunan kadar faedah AS pada September, selain harapan kepada lebih banyak langkah-langkah rangsangan oleh China didorong oleh prestasi ekonomi yang lemah.

“Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dikekang oleh ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS menjelang keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS hari ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata harga minyak meningkat pada Rabu, naik semula berikutan serangan Israel terhadap kumpulan Hizbullah sebagai tindakan balas terhadap serangan pada hujung minggu lepas menyaksikan peniaga mengambil kira premium risiko yang lebih besar untuk harga minyak mentah.

Pada masa ini, harga minyak mentah Brent naik 2.15 peratus kepada US$80.32 setong.

Beliau berkata butiran laporan pembukaan pekerjaan pada Jun menunjukkan ketegangan dalam pasaran buruh AS terus berkurangan kepada paras sebelum pandemik, dijangka memberikan keyakinan kepada Rizab Persekutuan AS untuk mula menurunkan kadar faedah pada September.

Katanya menurut Biro Perangkaan Kebangsaan China, sektor pembuatannya susut seperti yang dijangkakan pada Julai, dengan indeks Pengurus Pembelian Pembuatan jatuh kepada 49.4, menguncup untuk bulan ketiga berturut-turut berikutan permintaan domestik yang kekal lemah dalam persekitaran sokongan yang sederhana daripada Beijing.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) naik tujuh sen kepada 770.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat 1.5 sen kepada 630 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal sebanyak 773 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 630.5 sen sekilogram. - BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI