fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup rendah

KUALA LUMPUR, 18 September- Pasaran getah Malaysia ditutup rendah pada Isnin, menjejaki pasaran niaga hadapan getah serantau menjelang keputusan mengenai kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) pada minggu ini, kata peniaga.

Beliau berkata pasaran getah Jepun ditutup hari ini sempena Hari Menghormati Warga Tua.

“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dihadkan oleh kenaikan harga minyak mentah.

“Harga minyak meningkat untuk sesi ketiga berturut-turut pada Isnin, disokong oleh unjuran defisit bekalan yang meningkat pada suku keempat selepas Arab Saudi dan Rusia melanjutkan pengurangan dan atas keyakinan permintaan pulih di China,” katanya.


(Foto hiasan)

Pada masa ini, harga minyak mentah Brent naik 0.21 peratus kepada US$94.13 setong.

Sementara itu, peniaga berkata dilaporkan bahawa pasaran kini tertumpu kepada mesyuarat Fed AS pada Rabu, dengan bank dijangka mengekalkan kadar.

“Bagaimanapun, Fed turut dijangka mengekalkan prospek agresifnya dan dijangka memberi isyarat kadar yang tinggi untuk tempoh lebih lama,” katanya.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) merosot 5.5 sen kepada 661.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan 0.5 sen kepada 479.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk getah fizikal SMR 20 sebanyak 659.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal berjumlah 480.5 sen sekilogram.- BERNAMA

Media Baharu