fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup bercampur-campur

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 22 November- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Jumaat, dipengaruhi oleh aliran menurun pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.

Katanya sentimen pasaran turut terjejas oleh ketidaktentuan dalam ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta krisis geopolitik di Asia Barat.

“Gangguan bekalan turut meningkatkan sentimen berikutan keadaan cuaca buruk di beberapa negara pengeluar utama getah.

“Namun, penurunan seterusnya dihadkan oleh kenaikan harga minyak mentah dan ringgit yang lemah berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Peniaga itu berkata niaga hadapan getah Jepun merosot pada Jumaat, dipengaruhi oleh kenaikan kukuh yen tetapi harga minyak yang kukuh mengehadkan penurunan.

Memetik Jabatan Meteorologi Thailand, beliau berkata hujan lebat mungkin mengakibatkan banjir kilat termasuk di selatan Thailand bermula 22 hingga 27 November.

Pada 5 petang, harga minyak mentah Brent menokok 0.61 peratus kepada US$74.72 setong.

Menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM), harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) susut 9.5 sen kepada 844.5 sen sekilogram manakala lateks pukal melonjak tiga sen kepada 681 sen sekilogram.

Pada 5 petang, SMR 20 kekal pada 842 sen sekilogram dan lateks pukal pada 684 sen sekilogram.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE