KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Pasaran getah Malaysia dijangka melonjak minggu hadapan selepas hujan lebat yang berterusan di negara-negara pengeluar getah utama seperti Thailand dan Malaysia, terus menjejaskan produktiviti selain menimbulkan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan.
Pakar industri Denis Low menyatakan, Jabatan Meteorologi Thailand telah mengeluarkan amaran ribut untuk selatan Thailand disebabkan oleh peralihan corak monsun.
“Di Malaysia, Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan amaran ribut petir untuk beberapa neger dan secara serantau, Asia Tenggara mengalami fenomena antara monsun awal, dengan angin kencang yang kuat dan hujan lebat yang berterusan terus menghalang produktiviti getah,” katanya.
Harga minyak mentah serta dolar US yang tidak menentu turut mempengaruhi sentimen dan permintaan pasaran.
“Ketidakstabilan ini mencerminkan ketidakpastian dan boleh mewujudkan sikap berhati-hati serta kebimbangan dalam kalangan peserta pasaran.
Oleh itu, kami mungkin akan melihat pendekatan yang lebih berwaspada ke atas urus niaga dalam komoditi ini,” katanya.
Dari Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk SMR 20 meningkat sebanyak 12 sen pada minggu ini kepada 748.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal menyusut satu sen kepada 568 sen sekilogram.- BERNAMA