KUALA LUMPUR, 5 November – Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW), sebagai penunjuk kos sara hidup, dijangka dapat memastikan bantuan kepada rakyat disalurkan dengan lebih tepat.
Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Profesor Datuk Dr. Madeline Berma berkata pendekatan PAKW memberi anggaran lebih realistik bagi menentukan status isi rumah, berbanding pengelasan berdasarkan pendapatan semata-mata.
“Sebagai contoh, golongan M40 sering menghadapi masalah di mana pendapatan mereka kelihatan tinggi, namun apabila kos perbelanjaan diambil kira, pendapatan bersih mereka mungkin lebih rendah daripada golongan B40 kategori atas. Ini menyebabkan mereka tidak layak untuk bantuan,” katanya ketika dihubungi RTM.
Tambah Madeline, penggunaan MYkalkulator juga membantu golongan ini mengenal pasti kedudukan mereka dalam kategori pendapatan.
Pendekatan PAKW turut mengambil kira corak perbelanjaan mengikut lokaliti dan budaya, yang dianggap lebih sesuai berbanding kaedah sedia ada.
Madeline turut mencadangkan agar faktor tambahan seperti status kesihatan isi rumah, ahli isi rumah yang berhijrah, dan pendapatan tidak tetap turut diambil kira dalam penilaian tersebut.