fb fb fb fb fb

OPR kekal tiga peratus

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 11 Julai- Jawatankuasa Dasar Monetari, Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus dalam mesyuarat hari ini.

Menerusi kenyataan BNM, pengekalan itu disebabkan ekonomi global terus berkembang di tengah-tengah pasaran buruh yang berdaya tahan dan pemulihan berterusan dalam perdagangan global.

Pada masa hadapan, pertumbuhan global dijangka berkekalan kerana rintangan daripada dasar monetari yang ketat dan sokongan fiskal yang berkurang akan dibendung keadaan pasaran pekerja yang positif serta inflasi yang terus menurun.

Perdagangan global terus kukuh berikutan momentum peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras global terus menurun pada bulan-bulan kebelakangan ini, dengan beberapa bank pusat mula melonggarkan dasar monetari mereka.

Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini mencatatkan kegiatan ekonomi yang terus kukuh pada suku kedua tahun 2024.

Hal ini didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan prestasi eksport yang lebih baik.

Pada masa hadapan, eksport dijangka disokong peningkatan kitaran teknologi global berikutan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor serta eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang terus kukuh.

Ketibaan dan perbelanjaan pelancong juga dijangka terus meningkat.

Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan berserta langkah-langkah dasar akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE