fb fb fb fb fb

PRIBUMI ramal kadar OPR kekal 3 peratus

Mohd Shaqil Haziq Mohd Zubir

KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada 3 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terakhir tahun ini.

Ahli Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (PRIBUMI), Mohd Shaqil Haziq Mohd Zubir berkata, unjuran itu berdasarkan kadar inflasi yang terkawal ketika ini.

"Dalam keadaan sekarang, saya jangkakan berkemungkinan besar Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menaikkan OPR, tetapi kita kena berhati-hati juga sebab kita berfikir tentang apa yang berlaku di Amerika Syarikat (AS).

"Mereka (AS) mungkin akan menaikkan kadar mereka, atau kekal. Sekiranya mereka menaikkan kadar mereka di sana, jadi ada kemungkinan akan memberi tekanan kepada ringgit. Jadi kita kena lihat apa tindakan BNM," katanya kepada pemberita di Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini.

Terdahulu, Mohd Shaqil berkata, inflasi Malaysia ketika ini berada pada kadar 1.9 peratus.

Sementara itu, AmBank menerusi nota penyelidikannya turut meramalkan pengekalan OPR pada paras semasa.

Normalisasi kadar OPR sebanyak 125 mata asas pasca COVID-19 telah memberikan keseimbangan pertumbuhan inflasi ke tahap diperlukan.

BNM dijadual mengadakan mesyuarat MPC yang keenam selama dua hari bermula esok.

SITI AISHAH BINTI MD ISA