fb fb fb fb fb

OPR dijangka dikekal 3.0 peratus

Penganalisis Ekonomi Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid

KUALA LUMPUR, 7 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 3.0 peratus.

Penganalisis Ekonomi Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, pengekalannya dipacu dengan perkembangan ekonomi domestik dan pertumbuhan eksport yang positif.

Menurut beliau memandangkan ekonomi dunia mengalami ketidaktentuan, ekonomi domestik kekal menjadi peneraju ekonomi Malaysia dijangka mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus hingga 5 peratus bagi tahun 2024.

"Ekonomi global itu masih lagi walaupun telah berkembang baik, eksport negara telah pun bertambah baik, bertambah naik dari bulan ke bulan, tetapi ekonomi dunia itu masih rapuh. Sebarang isu geopolitik mahupun sebarang virus baru bakal memberikan kesan kepada ekonomi global itu sendiri," kata Dr. Aimi kepada RTM.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang lepas, mereka membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras tiga peratus.

Mesyuarat seterusnya dijangka berlangsung pada 10 dan 11 Julai 2024.

TETITIA YUSOFF