KUALA LUMPUR, 4 Mac- Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, OPEC+ akan meneruskan rancangan untuk meningkatkan pengeluaran minyak, bermula 1 April ini.
Lapan negara anggota OPEC+ bersetuju melaksanakan langkah itu secara beransur-ansur dan fleksibel, bagi pelarasan sukarela sebanyak 2.2 juta tong sehari.
Menurut kenyataan OPEC, keputusan itu dibuat berdasarkan asas pasaran yang kukuh serta prospeknya yang positif.
"Persetujuan ini dicapai susulan mesyuarat secara maya yang diadakan pada hari yang sama.
Di sebalik persetujuan yang dicapai, negara anggota kekal berhati-hati dengan keadaan pasaran dan sedia menghentikan sementara atau membatalkan kenaikan pengeluaran jika perlu," kata kenyataan itu.
Pengurangan pengeluaran sebanyak 2.2 juta tong sehari dimulakan sejak suku pertama 2024.
Langkah itu telah dilanjutkan untuk beberapa kali, dengan penetapan terkini sehingga suku pertama 2025.