fb fb fb fb fb

Nilai pelaburan hartanah MARA meningkat hampir 30%

Ketua Pengarah MARA, Datuk Sri Azhar Abdul Manaf

KUALA LUMPUR, 5 Julai - MARA Incorporated Sendirian Berhad merekodkan peningkatan hampir 30 peratus dalam nilai pelaburan hartanah sejak 2022 hingga Jun 2024.

Peningkatan itu menyaksikan pertambahan daripada RM170 juta kepada RM215 juta.

Prestasi kewangan juga menunjukkan trend positif dengan merekodkan keuntungan selepas cukai bagi tahun 2022 hingga Mei 2024.

Ketua Pengarah MARA Datuk Sri Azhar Abdul Manaf dalam satu kenyataan berkata, kerugian terkumpul MARA berjumlah RM286.30 juta yang dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara berlaku pada 2012 hingga 2022.

"Kerugian terkumpul itu sebahagiannya melibatkan urusan pembelian aset di luar negara khususnya di Australia dan United Kingdom antara tahun 2012 hingga 2014.

"Pada tahun 2020 dan 2021, pandemik COVID-19 telah melanda dan menjejaskan prestasi aset-aset MARA," menurutnya.

Majlis dan pengurusan MARA amat komited dan beriltizam tinggi untuk memastikan segala aspek tadbir urus korporat dan tatakelola kewangan syarikat berada pada tahap tertinggi.

Usaha tersebut agar tidak berlaku sebarang ketirisan, penyimpangan, penyelewengan dan pembaziran yang melibatkan wang rakyat yang diamanahkan.

TETITIA YUSOFF