fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM ditutup tinggi

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 20 Jun- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Khamis berikutan unjuran peningkatan yang lemah daripada jangkaan dalam pengeluaran serta harga minyak mentah yang tinggi, kata peniaga minyak sawit David Ng.

"Kami mengesan paras sokongan pada RM3,800 dan paras rintangan pada RM3,950," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, penganalisis kanan Fastmarkets Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM tinggi untuk hari kedua selepas permulaan yang bercampur-campur pada sesi awal.

Beliau berkata peningkatan dalam data eksport Malaysia dan minyak sayuran berkaitan yang ditutup tinggi di Bursa Komoditi Dalian serta Bursa Komoditi Zhengzhou membantu mengekalkan kenaikan dalam niaga hadapan MSM.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Julai 2024 menambah RM21 kepada RM3,980 satu tan, Ogos 2024 meningkat RM28 kepada RM3,969 satu tan, September 2024 naik RM39 kepada RM3,959 satu tan, Oktober 2024 dan November 2024 masing-masing menokok RM45 kepada RM3,949 dan RM3,950 satu tan, manakala Disember 2024 meningkat RM46 kepada RM3,965 satu tan.

Jumlah dagangan menyusut kepada 48,882 lot daripada 52,256 lot pada Rabu, kepentingan terbuka pula merosot kepada 218,166 kontrak berbanding 219,156 kontrak sebelum itu.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan naik RM10 kepada RM4,000 satu tan.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE