KUALA LUMPUR, 24 Januari- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dibuka lebih tinggi pada Rabu, seiring prestasi asas pasaran tunai.
Pada pukul 9.10 pagi, kontrak bulan semasa Januari 2024 dan Jun 2024 masing-masing naik 4.0 mata kepada 1,504.0 dan 1,493.0 manakala Februari 2024 dan Mac 2024 naik 5.0 mata kepada 1,505.5 dan 1,492.5.
Jumlah dagangan sebanyak 2,779 lot manakala kepentingan terbuka berjumlah 46,884 kontrak.
Pada pukul 9.32 pagi ini, indeks penanda aras FBM KLCI naik 4.74 mata kepada 1,500.85 berbanding 1,496.11 pada akhir dagangan semalam.
Jawatankuasa Dasar Monetari (FMC) Bank Negara Malaysia dijadual mengadakan mesyuarat pertama 2024 pada hari ini yang antara lainnya memutuskan mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Sebahagian besar kalangan ahli ekonomi menjangkakan bank pusat itu akan bertindak mengekalkan kadar semasa pada 3.0 peratus.
Untuk rekod, bank pusat bertindak mengekalkan OPR pada paras semasa dalam mesyuarat terakhir 2023 dan menjadikan keputusan ketiga seumpamanya secara berturut-turut.- BERNAMA