fb fb fb fb fb

Niaga hadapan emas ditutup rendah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 10 Julai- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah berikutan pelabur mengambil langkah berhati-hati menjelang data inflasi Amerika Syarikat (AS) pada Jun dikeluarkan pada Khamis.

Namun begitu, menurut laporan, harga emas telah menunjukkan daya tahannya pada separuh pertama 2024, meningkat hampir 13 peratus kepada US$2,380 setiap auns.

Kenaikan itu berterusan disebabkan tempoh kadar faedah yang berpanjangan, menjadikan emas sebagai aset selamat.

Pada sesi penutup, kontrak bulan semerta Julai 2024 berkurangan kepada US$2,373.60 setiap auns troy daripada US$2,375.00 setiap auns troy pada Selasa.

Sementara itu, Ogos 2024, September 2024, Oktober 2024, Disember 2024 dan Februari 2025, masing-masing turun kepada US$2,389.60 setiap auns troy daripada US$2,391.50 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan meningkat kepada sembilan lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka naik kepada 15 kontrak daripada tujuh kontrak sebelumnya.

Harga emas fizikal berada pada US$2,376.90 setiap auns troy, berdasarkan penetapan petang oleh London Bullion Market Association pada 9 Julai.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN