fb fb fb fb fb

Niaga hadapan emas ditutup rendah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 24 Jun- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini meskipun prestasi positif di niaga hadapan emas COMEX.

Kontrak niaga hadapan emas Ogos 2024 di COMEX diniagakan pada US$2,338 setiap auns troy, menunjukkan peningkatan sebanyak 0.29 peratus daripada paras penutup US$6.50 sebelumnya.

Sementara itu, OCBC Bank dalam Penyelidikan Pasaran Globalnya mengulas harga emas diniagakan lebih rendah berikutan berita bahawa China melaporkan tiada perubahan dalam pegangan emasnya pada Mei.

Pengurangan bilangan penurunan kadar faedah bagi 2024 seperti yang dilihat menerusi data Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada sentimen logam berharga, termasuk emas dan perak.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Jun 2024 turun kepada US$2,330.00 setiap auns troy daripada US$2,367.30 setiap auns troy pada Jumaat minggu lepas, manakala Julai 2024 merosot kepada US$2,336.80 setiap auns troy daripada US$2,374.10 setiap auns troy sebelum itu.

Kontrak Ogos 2024, September 2024, Oktober 2024 dan Disember 2024 semuanya ditutup rendah kepada 2,352.80 setiap auns troy berbanding US$2,390.10 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan turun kepada 13 lot daripada 15 lot pada Jumaat minggu lepas, manakala kepentingan terbuka susut kepada 37 kontrak daripada 40 kontrak.

Menurut London Bullion Market Association pada 21 Jun, harga emas fizikal berada pada US$2,335.05 setiap auns troy.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN