KUALA LUMPUR, 3 Ogos - Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tinggi minggu depan seiring dengan prestasi emas di COMEX.
Seorang peniaga berkata logam berharga itu meningkat susulan hasil bon Amerika Syarikat (AS) yang rendah dengan hasil Perbendaharaan AS 10 tahun susut ke paras rendah dalam tempoh lebih daripada enam bulan susulan laporan senarai gaji bukan ladang AS yang kurang memberangsangkan.
“Hasil rendah mengurangkan peluang pegangan pelaburan dalam aset bukan hasil seperti emas,” katanya.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, bulan semerta Ogos 2024, September 2024, Oktober 2024, November 2024, Disember 2024 dan Februari 2025 semuanya ditutup pada US$2,474.50 setiap auns troy daripada US$2,385.80 setiap auns troy pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 150 lot daripada 110 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka naik kepada 77 kontrak daripada 53 kontrak.
Harga emas fizikal berada pada US$2,454.55 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 1 Ogos. - BERNAMA