fb fb fb fb fb

N.Sembilan tumpu empat pelaburan utama dalam Pembangunan Kluster Industri Wilayah Tengah

Kawasan Perindustrian Sendayan Techvalley semakin menjadi tumpuan pelabur di sini / Gambar Fail

 

KUALA LUMPUR, 12 November - Negeri Sembilan menggunakan peluang sebaik mungkin untuk memperkasa pelaburan khususnya dalam sektor Elektrikal & Elektronik (E&E), Aeroangkasa, Farmaseutikal dan Pemprosesan Makanan menerusi Inisiatif Pembangunan Kluster Industri Wilayah Tengah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Invest NS, Datuk Najmuddin Sharif Sarimon, kekuatan empat negeri bersama-sama Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur dapat mewujudkan ekosistem yang baik dengan peluang pekerjaan yang lebih meluas.

Jelasnya lagi, beberapa jajaran tumpuan pembangunan khusus juga telah dirancang antara pembangunan sekitar sempadan membabitkan Selangor dan Melaka .

"Saya berharap dengan wujudnya Kluster Wilayah Tengah antara empat negeri ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik dan ekosistem lebih baik dan bersifat melengkapi dan membantu antara satu sama lain untuk mewujudkan satu kawasan industri terkemuka di Asia Tenggara," katanya.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Negeri Sembilan Azizul Hakim Abu Haniffa menyatakan, lebih 10 kawasan industri baharu telah dibuka di negeri itu termasuk di Seremban, Bandar Enstek dan Sendayan Tech Valley.

Jelasnya, untuk memperkasa pelaburan, satu program khas telah dilaksana bagi mempercepatkan lagi proses kemasukan pelaburan ke negeri itu.

" Dalam melengkapi peranan tersebut kami akan bersama Invest NS meluluskan lesen pengilang contohnya apabila projek datang ke Negeri Sembilan, kita akan bermesyuarat dan bantu permohonan lesen mengilang. Semua usaha ini bagi memastikan agar projek pelaburan ini sentiasa dalam pemantauan pihak kami," jelas beliau lagi.

Inisiatif Pembangunan Kluster Perindustrian Wilayah Tengah diunjurkan menyumbang sebanyak RM24.5 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Inisiatif itu dijangka menarik RM12.5 bilion pelaburan diluluskan setiap tahun dan mewujudkan 5,000 pekerjaan bernilai tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN