fb fb fb fb fb

MFA adakan Misi Perdagangan Francais ke Arab Saudi

Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mengadakan Misi Perdagangan Francais ke Riyadh, Arab Saudi / Foto FB MFA

KUALA LUMPUR, 3 November – Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mengadakan Misi Perdagangan Francais ke Riyadh, Arab Saudi, bertujuan memperkenalkan jenama francais Malaysia kepada pasaran Asia Barat yang pesat berkembang.

Misi ini akan berlangsung selama tiga hari, bermula dari 5 hingga 9 November, sempena Pameran BIBAN24 di Riyadh Front Exhibition and Conference Center (RFECC).

Ia melibatkan penyertaan syarikat francais utama Malaysia dalam pelbagai sektor, termasuk Makanan dan Minuman, Pendidikan, dan Perkhidmatan.

Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan memaklumkan pasaran Arab Saudi mempunyai potensi besar untuk syarikat francais Malaysia.

"Kerajaan Saudi kini giat menjalankan pembaharuan ekonomi melalui Visi 2030, dan sektor francais dilihat sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara tersebut," katanya menerusi kenyataan.

Misi perdagangan ini, yang diketuai oleh Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick, turut disertai oleh agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), SME Corp, SME Bank, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Sepanjang misi ini, syarikat-syarikat francais Malaysia akan menyertai sesi padanan perniagaan, perbincangan meja bulat, dan pameran francais, yang diharap dapat membuka peluang kerjasama strategik, pelaburan, dan pemindahan teknologi dengan pemain industri di Arab Saudi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN