KUALA LUMPUR, 24 September- Malaysia menegaskan kepentingan ASEAN dalam memperkukuh hubungan dengan rakan antarabangsa ketika dunia berdepan perubahan besar dalam tatanan perdagangan dan keselamatan global.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, landskap ekonomi dan politik dunia kini berubah pantas sehingga memerlukan kerjasama strategik lebih erat.
“Perbincangan bersama rakan seperti Korea, China, Jepun (ASEAN+3) dan Amerika Syarikat amat bernilai kerana ia memberi kefahaman jelas mengenai pandangan mereka, serta bagaimana kita boleh membentuk kerjasama yang saling menguntungkan,” katanya.
Beliau ditemui media selepas menghadiri beberapa mesyuarat berkaitan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57.
Mengulas lanjut, Liew berkata pertemuan dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) berlangsung dalam suasana terbuka dan konstruktif.
Kedua-dua pihak bersetuju mengekalkan hubungan baik meskipun berdepan cabaran perdagangan global.
Selain itu, beberapa projek khusus termasuk aspek pelaksanaan dan garis masa turut dibincangkan bagi memperkukuh kerjasama ekonomi serantau.
Mengenai Mesyuarat RCEP yang dijadualkan esok, beliau menegaskan Malaysia komited memastikan kejayaan pertemuan tersebut serta bersedia menilai cadangan baharu yang dikemukakan.