KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Malaysia kini mempergiat usaha untuk merapatkan jurang kecerdasan buatan (AI) berikutan teknologi itu semakin berkembang sebagai satu daripada pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi dan inovasi.
Laporan Tinjauan Ekonomi 2026 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini menyatakan penggunaan teknologi itu dijangka dapat meningkatkan daya saing dalam pelbagai bidang sosioekonomi yang membolehkan pengoperasian perniagaan dilakukan dengan lebih cekap, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan taraf hidup taraf hidup
Data yang dipetik daripada Kementerian Digital 2024 memaklumkan integrasi AI berpotensi menyumbang sekitar USD115 bilion atau RM485 bilion kepada nilai ditambah ekonomi negara.
“Justeru, potensi ini perlu direalisasikan dengan mempercepat penggunaan AI serta membolehkan manfaat dinikmati secara menyeluruh sekali gus merapatkan jurang AI dalam kalangan masyarakat,” menurut laporan itu.
Laporan Tinjauan Ekonomi juga menyatakan Tahap Ketersediaan Al Malaysia menunjukkan kemajuan yang ketara seperti yang dilaporkan dalam Stanford Al Index 2024 dan Oxford Government Al Readiness Index, selaras dengan aspirasi kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagi negara Al yang terangkum dan mampan menjelang 2030 seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 2026-2030 (RMK13).
-- LAGI
LAPORAN-AI 2 KUALA LUMPUR
Usaha itu diperkukuh dengan pelaksanaan strategi dan rangka kerja kebangsaan termasuk Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia 2021 2030, Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021 2025 (AI-Rmap) serta Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara (AIGE) dan diperkukuh lagi dengan penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO).
Bagaimanapun, laporan itu menyatakan tahap keupayaan dan ketersediaan syarikat untuk memanfaatkan sepenuhnya AI masih terhad, seperti yang ditunjukkan dalam Indeks Kesediaan AI Cisco 2024 yang menunjukkan tahap penggunaan AI di peringkat perusahaan masih sederhana, dengan kesediaan infrastruktur kekal sebagai penghalang utama.
Antara halangan utama penggunaan Al, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ialah kepakaran dan pengetahuan aplikasi praktikal yang terhad, ketidakpastian dalam pulangan pelaburan dan kekurangan pembiayaan kewangan berkaitan AI.
“Program latihan semula dan peningkatan kemahiran juga tidak seragam dan terhad bagi memenuhi permintaan yang tinggi terhadap tahap kecekapan AI di samping jurang infrastruktur digital terutamanya di kawasan luar bandar dan terpencil telah menyebabkan gangguan akses kepada ketersambungan berkelajuan tinggi yang stabil.
“Hal itu mengehadkan penggunaan aplikasi perkhidmatan berasaskan awan dan masa nyata yang berkesan. Selain jurang tersebut, kekurangan set data yang sedia digunakan untuk AI turut menjadi penghalang kepada manfaat AI yang bakal diperolehi,” menurut laporan itu.
-- LAGI
LAPORAN-AI 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Melihat ke hadapan, kerajaan berhasrat untuk memperkukuh ekosistem inovasi, memodenkan infrastruktur, melindungi masa depan tenaga kerja dan meningkatkan tadbir urus, sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab teknologi digital serantau serta mempromosikan produk dan perkhidmatan "Buatan Malaysia".
Laporan itu menyatakan bahawa usaha akan difokuskan melalui penyediaan kemudahan dan sokongan bersasar bagi menggalakkan kerjasama lebih erat dalam kalangan penyelidik, universiti dan institusi penyelidikan kerajaan, selain menggalakkan pihak swasta untuk turut sama memainkan peranan yang lebih signifikan dalam penyediaan hab inkubasi dan sandbox (medan ujian) dalam usaha memperkenalkan penyelesaian Al ke dalam pasaran.
Selain itu, kerajaan juga akan terus menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memanfaatkan Al ke arah pembuatan keputusan berdasarkan data dan secara responsif.
Sehubungan itu, perkhidmatan GovTech akan diperluas menerusi pendekatan menyeluruh kerajaan bagi memodenkan sektor awam serta menyelaras operasi dan perkongsian data merentas kementerian dan agensi.
Laporan itu menyatakan, bagi mencapai semua, NAIO telah diamanahkan untuk mempercepat penerimagunaan, memupuk inovasi dan memastikan pembangunan Al yang lebih pantas dan boleh dicapai melalui tujuh penghasilan utama termasuk penggubalan Pelan Tindakan Al Kebangsaan 2030 bagi memastikan penerimagunaan Al merentas semua sektor.
“Selain itu, rangka kerja khusus untuk Al akan diperkenalkan bagi memperkukuh ketelusan, menggalakkan amalan beretika serta mempercepat pelaksanaan teknologi Al,” menurut laporan itu. - BERNAMA