KUALA LUMPUR, 25 September -Malaysia akan berusaha memuktamadkan perjanjian perdagangan timbal balas bersama Amerika Syarikat (AS) menjelang Sidang Kemuncak Asean ke-47 yang berlangsung Oktober ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menjelaskan, perjanjian itu telah mencapai persetujuan diperingkat dasar dan kini sedang melalui semakan perundangan sebelum teks perjanjian dimuktamadkan.
"Kami telah diberi amanah oleh kedua-dua pemimpin untuk berusaha menyiapkannya, jadi saya perlu berusaha berasaskan mandat itu. Saya yakin kita mesti berusaha menyelesaikannya kerana saya percaya kepastianseperti ini adalah baik untuk komuniti perniagaan," katanya.
Tambahnya, perkara itu antara agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat dua hala antara Malaysia dan delegasi AS yang diketuai Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson Greer di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan yang sedangberlangsung di ibu negara.
Kedua-dua pihak turut membincangkan bidang keberhasilan ekonomi bersama sebagai persiapan menjelang lawatan Presiden AS, Donald Trump ke Malaysia pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 nanti.
Mengulas sama ada Malaysia masih berpeluang untuk menikmati pengurangan kadar tarif, jelasnya perkara itu tidak dibincangkan dan ia tertakluk kepada keputusan pentadbiran AS.