fb fb fb fb fb

Malaysia kekal teguh sebagai peneraju diplomasi serantau

Malaysia terus meneguhkan kedudukannya sebagai peneraju diplomasi serantau melalui dasar berkecuali yang matang dan berprinsip, sejajar dengan kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN 2025/Foto arkib/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 November – Malaysia terus meneguhkan kedudukannya sebagai peneraju diplomasi serantau melalui dasar berkecuali yang matang dan berprinsip, sejajar dengan kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang menyaksikan penglibatan aktif kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Khoo Ying Hooi berkata pendekatan berkecuali Malaysia memberi kelebihan strategik dalam memperkukuh kestabilan dan keharmonian rantau di tengah cabaran geopolitik global yang kompleks.

Beliau menegaskan, kejayaan dasar berkecuali memerlukan kebijaksanaan Malaysia dalam menyusun langkah strategik bagi mengimbangi hubungan antara dua kuasa besar dunia.

0711 BZ DR KHOO ASEAN 2Profesor Madya Dr. Khoo Ying Hooi/RTM

“Walaupun terdapat perjumpaan antara Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping di Korea Selatan selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, beberapa isu masih belum diselesaikan antara kedua-dua negara.

"Saya melihat perkara ini sebagai salah satu cabaran terbesar bagi Malaysia dalam mengemudi peranannya di rantau ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program KOPIeKONOMI di Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kemasukan Timor-Leste sebagai anggota baharu ASEAN, Dr. Khoo yang juga Penasihat Kerajaan Timor-Leste bagi Lembaga Centro Nacional Chega (CNC) berkata langkah itu membuka peluang memperluas pasaran serta memperkayakan dinamik politik rantau, selaras dengan peranan aktif Malaysia sebagai pengerusi ASEAN.

“Adanya cabaran, tetapi saya nampak ia juga membuka potensi untuk pasaran baharu, terutama melalui pendekatan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN yang terus memperkukuh hubungan pelbagai hala dengan negara serantau,” jelasnya.

Dr. Khoo menegaskan, keberhasilan ASEAN tidak hanya diukur dari sudut ekonomi, tetapi juga melalui kesejahteraan sosial dan politik serantau yang komprehensif agar manfaatnya dapat dinikmati secara inklusif oleh rakyat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN