KUALA LUMPUR, 11 Disember - Malaysia mencatatkan pencapaian memberangsangkan dalam usaha membanteras dan memerangi aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan.
Ini dibuktikan menerusi status 'Regular Follow-Up', kategori tertinggi dalam proses penilaian bersama oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), badan bebas antara kerajaan yang menetapkan piawaian global bagi pencegahan jenayah kewangan.
Penilaian itu turut melibatkan badan serantau yang berasaskan FATF iaitu Kumpulan Asia/Pasifik berkaitan Pengubahan Wang Haram (APG).
Bank Negara Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, peningkatan status daripada 'Enhanced Follow-Up' pada 2015 mencerminkan tahap pematuhan teknikal yang kukuh oleh Malaysia serta pembanterasan yang semakin berkesan.
Laporan bersama itu turut mengiktiraf beberapa faktor utama yang mengukuhkan rejim pencegahan jenayah kewangan.
''Antaranya rangka kerja perundangan dan institusi yang komprehensif meliputi pindaan terkini terhadap undang-undang serta pemahaman risiko yang mendalam dan menyeluruh.
''Selain itu, keupayaan risikan kewangan yang canggih untuk menyokong siasatan termasuk integrasi analitik data dan perkongsian maklumat antara agensi yang lancar.
''Perolehan semula aset yang mencatatkan peningkatan 15 kali ganda berbanding 2015 dengan nilai keseluruhan RM37.63 bilion turut mendorong peningkatan status itu,'' menurut kenyataan itu.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pencapaian ini mencerminkan komitmen dan usaha seluruh negara dalam memelihara integriti sistem kewangan.
''Kami akan terus memperkukuh kerangka sedia ada bagi menangani risiko yang baru muncul, mengekalkan keyakinan global terhadap sektor kewangan
Malaysia serta memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan berdaya saing.
''Jawatankuasa Penyelaras Pencegahan Pengubahan Wang Haram Peringkat Kebangsaan (NCC) akan turut membangunkan dan melaksanakan strategi serta pelan tindakan kebangsaan yang komprehensif bagi menangani risiko dan melaksanakan saranan daripada laporan tersebut,'' katanya.