fb fb fb fb fb

Malaysia catat pelaburan diluluskan RM285.2 bilion, bukti keyakinan pelabur asing

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 18 November - Malaysia berjaya mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM285.2 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, meningkat 13.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan memaklumkan, prestasi pelaburan membuktikan daya tahan dan tarikan berterusan negara sebagai destinasi pelaburan dalam ketegangan geopolitik dan perdagangan global, gangguan rantaian bekalan, serta dasar monetari yang lebih ketat menekan aliran pelaburan di banyak pasaran lain.

Bagi tempoh tersebut 4,874 projek yang diluluskan merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer.

''Kelulusan ini dijangka mewujudkan 152,766 peluang pekerjaan baharu, mencerminkan skala dan keluasan minat pelabur terhadap ekonomi Malaysia.

''Pelaburan Asing (FI) melonjak 47.5 peratus tahun ke tahun, dengan peningkatan dicatatkan oleh ketiga-tiga sektor iaitu perkhidmatan (122 peratus), pembuatan ( (9.2 peratus), dan sektor primer (56.6 peratus),'' menurut kenyataan itu.

Bagi pelaburan diluluskan berasaskan sumber asing, Singapura merupakan penyumbang terbesar FI berjumlah RM52.7 bilion, diikuti China (RM35.8 bilion)Amerika Syarikat (RM11.3 bilion), British Virgin Islands(RM6.6 bilion) dan Jepun (RM4.8 bilion).

Komposisi ini mencerminkan kedudukan strategik Malaysia di antara ekonomi-ekonomi utama, peranannya dalam usaha pemelbagaian rantaian bekalan, serta pengukuhan integrasi pasaran dalam ASEAN.

Johor pula mencatat pelaburan diluluskan tertinggi (RM91.1 bilion), diikuti Selangor (RM51.9 bilion), Kuala Lumpur (RM45.9 bilion), Pulau Pinang (RM23.7 bilion) dan Kedah (RM17.5 bilion).

"Dominasi Johor didorong oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta kedudukannya yang berhampiran dengan salah satu ekonomi paling maju di Asia," menurut MIDA.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz menyifatkan prestasi itu sebagai bukti keberkesanan strategi ekonomi Malaysia.

"RM285.2 bilion dalam tempoh sembilan bulan adalah pencapaian yang luar biasa. Ketika aliran modal global menguncup di banyak tempat lain, Malaysia terus menarik pelaburan berkualiti pada skala besar.

''Ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik dan visi ekonomi negara. Kita bukan sekadar bersaing dalam ASEAN malah menetapkan penanda aras.

''Pelaksanaan berfokus terhadap misi utama di bawah NIMP 2030 menarik pelaburan, sambil menyediakan pekerjaan dan peluang peningkatan kemahiran untuk memperkukuh peralihan kita ke arah ekonomi bernilai tinggi berasaskan pengetahuan,'' katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI