KUALA LUMPUR, 23 Mac - Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines memperkenalkan tiga laluan baharu dari Kuala Lumpur sekali gus meningkatkan kehadiran dalam pasaran utama dan mengukuhkan lagi kedudukan sebagai pintu masuk ke Asia mulai 1 Ogos ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group Bhd (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail, berkata beberapa bandar dikelaskan berdasarkan pembangunan infrastruktur, pertumbuhan ekonomi, saiz penduduk dan kualiti hidup.
Destinasi tersebut melibatkan penerbangan ke Male, Maldives mulai 1 Ogos 2024; penerbangan harian ke Da Nang berkuat kuasa pada 24 September dna penerbangan lima kali seminggu ke Chiang Mai pada 15 Ogos 2024.
"Sesebuah laluan itu perlu lah bersifat percutian atau komersial. Syarikat perlu bertindak bijak dalam menentukan laluan. Kita tidak boleh terbang ke destinasi yang tidak menguntungkan. Pertimbangan mengenai kos perlu dibuat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaranaa Malaysia (MATTA) 2024 pada Jumaat.
Malaysia Airlines kini menawarkan sambungan penerbangan terbaik ke lebih 900 destinasi di 170 wilayah di seluruh dunia.
MAG turut memperkenalkan tempat duduk kelas perniagaan A330neo dan ekonomi baharu menjelang penghantaran pesawat itu yang dijadualkan pada suku ketiga 2024.