BANGI, 25 September – Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) menutup siri penganjuran Seminar Usahawan Madani: e-Invois (SUM:e-Invois) 2025 dengan edisi ketiga yang berlangsung di Selangor, pada Rabu.
Selepas Sabah dan Sarawak, Selangor menjadi lokasi terakhir seminar tersebut yang secara keseluruhan memberi manfaat kepada lebih 800 usahawan.
Dalam satu kenyataan, INSKEN memaklumkan seminar sehari itu memberi penekanan kepada pelbagai aspek berkaitan sistem e-Invois, termasuk pengenalan, senario dan jenis e-Invois, selain aspek pelaksanaan merangkumi persediaan serta aliran kerja e-Invois.
Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni berkata, pelaksanaan e-Invois merupakan anjakan besar dalam landskap keusahawanan negara, sekali gus meningkatkan kesedaran serta kefahaman usahawan terhadap pematuhan sistem yang ditetapkan kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).
Selain sesi perkongsian, penganjuran turut menyediakan reruai agensi bagi membolehkan peserta mendapatkan maklumat lanjut mengenai program keusahawanan, termasuk reruai khas INSKEN untuk sesi penerangan susulan.
SUM:e-Invois 2025 dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).