fb fb fb fb fb

KWSP catat lonjakan pendapatan pelaburan RM63.99 bilion

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 November- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat pendapatan pelaburan berjumlah RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan tahun ini, meningkat 11 peratus berbanding RM57.57 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Bagi suku ketiga 2025, KWSP merekodkan RM25.07 bilion, naik 27% berbanding RM19.67 bilion pada suku ketiga 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pertumbuhan itu didorong pelaksanaan alokasi aset strategik yang membolehkan KWSP memanfaatkan pemulihan pasaran ekuiti pasca "Liberation Day", selain keyakinan terhadap kekuatan ekonomi Malaysia yang merangkumi 61 peratus portfolio keseluruhan.

Menurutnya, pasaran global turut menyumbang kepada prestasi kukuh suku ini, dengan pelaburan antarabangsa menjana 53% daripada jumlah pendapatan pelaburan.

"Walaupun prestasi sembilan bulan pertama adalah memberangsangkan, kami kekal berwaspada memasuki suku keempat. Pertumbuhan dalam pasaran ekuiti global telah meningkatkan penilaian, manakala petunjuk ekonomi global yang tidak sekata boleh memperlahankan kadar penurunan kadar faedah." katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, KWSP komited menguruskan risiko secara aktif dengan mempercepatkan pengambilan keuntungan pada kadar optimum.

Bagi suku ketiga 2025, ekuiti kekal sebagai penyumbang utama dengan RM16.95 bilion atau 68% daripada jumlah pendapatan, manakala instrumen pendapatan tetap menyumbang 27 peratus kepada RM6.75 bilion.

Hartanah dan infrastruktur pula mencatat RM1.14 bilion, manakala instrumen pasaran wang merekodkan keuntungan sebanyak RM0.23 bilion.

Daripada keseluruhan pendapatan pelaburan suku tersebut, RM20.48 bilion disumbangkan kepada Simpanan Konvensional dan RM4.59 bilion kepada Simpanan Shariah.

Sehingga 30 September 2025, jumlah aset pelaburan KWSP meningkat 12 peratus kepada RM1.37 trilion, dengan 39 peratus terdiri daripada pelaburan antarabangsa.

Dalam aspek keahlian, KWSP terus mencatat pertumbuhan stabil sejajar perkembangan positif pasaran tenaga buruh.

Sepanjang sembilan bulan ini, sebanyak 427,329 ahli baharu didaftarkan, menjadikan jumlah ahli melebihi 16.5 juta, termasuk 9.07 juta ahli aktif.

Manakala, jumlah caruman suku ketiga turut meningkat 10.5% kepada RM27.84 bilion, berbanding RM25.20 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Dalam masa sama, caruman sukarela turut melonjak 47.5% kepada RM15.30 bilion, termasuk peningkatan ketara ahli yang mencarum melebihi kadar berkanun.

Susulan pelaksanaan caruman mandatori bagi pekerja bukan warganegara bermula gaji Oktober 2025, KWSP kini memberi tumpuan kepada proses peralihan dan pematuhan, termasuk libat urus serta panduan berterusan kepada majikan.

SITI NOORAIN ABDULLAH