KUALA LUMPUR, 12 April- Ketidaktentuan yang semakin meningkat di pasaran global dijangka menjejaskan sentimen pelabur yang berpotensi mengheret Bursa Malaysia ke arah trend tidak menentu minggu hadapan berikutan ketegangan mengenai tarif antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang masih belum diselesaikan.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata bursa tempatan dijangka terus mengalami dagangan tidak menentu, mencerminkan naik turun yang dilihat pada sepanjang minggu lepas.
"Tindakan Presiden AS Donald Trump yang meningkatkan pertikaian dengan China dijangka menambahkan lagi ketegangan dan memberi tekanan selanjutnya terhadap prospek ekonomi global," katanya kepada Bernama.
Pada Jumaat, China mengumumkan peningkatan tarif ke atas import daripada AS kepada 125 peratus sebagai tindak balas terhadap keputusan Trump untuk menaikkan duti ke atas barangan dari China kepada 145 peratus.
Langkah tindak balas itu telah menambah kebimbangan mengenai perang perdagangan yang berlarutan, meningkatkan kerisauan terhadap potensi gangguan kepada rantaian bekalan global.
Di dalam negara, Thong menjangka FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan berada dalam julat 1,430 hingga 1,493 pada minggu akan datang.
"Berdasarkan analisis teknikal, indeks petunjuk pasaran perlu kembali melepasi paras 1,493–1,500 untuk mendapatkan semula momentum," katanya.
Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata walaupun terdapat penangguhan sementara tarif, hubungan ekonomi Malaysia yang erat dengan China -- sasaran utama tekanan perdagangan AS -- terus mendedahkan negara itu kepada risiko penurunan.
"Walaupun dengan pelaksanaan moratorium tarif selama 90 hari, kita sedang dalam keadaan tidak menentu. Pasaran dijangkakan kekal dalam jajaran kecil dan amat sensitif terhadap apa-apa berita utama," katanya.
Bursa Malaysia diniagakan dalam dagangan tidak menentu minggu ini apabila pengumuman berkaitan tarif mengekalkan sentimen pasaran yang resah, mencerminkan turun naik di Wall Street, dengan indeks utama bergerak antara untung dan rugi pada sepanjang minggu.
Pada asas Jumaat kepada Jumaat, indeks utama susut 49.38 mata kepada 1,454.76 daripada 1,504.14 pada seminggu sebelumnya.
Indeks FBM Emas susut 385.57 mata kepada 10,810.08, Indeks FBMT 100 rendah 372.21 mata kepada 10,601.67 dan Indeks FBM Emas Shariah menyusut 318.27 mata kepada 10,604.91.
Indeks FBM 70 berkurangan 585.24 mata kepada 15,265.93 dan Indeks FBM ACE rendah 220.41 mata kepada 4,412.19.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 7.77 mata kepada 139.43, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 771.98 mata kepada 17,534.53, Indeks Perladangan merosot 269.66 mata kepada 7,062.53 dan Indeks Tenaga rendah 70.53 mata kepada 648.74.
Jumlah dagangan melonjak kepada 19.65 bilion unit bernilai RM17.56 bilion daripada 6.70 bilion unit bernilai RM5.74 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 11.09 bilion unit bernilai RM14.08 bilion berbanding 3.98 bilion unit bernilai RM6.23 bilion sebelumnya.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 6.18 bilion unit bernilai RM524.37 juta berbanding 1.95 bilion unit bernilai RM237.70 juta pada minggu terdahulu.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 2.35 bilion unit bernilai RM699.77 juta daripada 769.81 juta unit bernilai RM271.19 juta sebelumnya.- BERNAMA