fb fb fb fb fb

Kerangka Ekonomi MADANI beri kesan positif ekonomi negara

Foto Hiasan / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Ogos- Kerangka Ekonomi MADANI mula menampakkan hasil dan impak positif kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat selepas setahun pelaksanaannya.

Pembaharuan dasar dan inisiatif yang diperkenal membolehkan Malaysia mengecapi kejayaan dan penambahbaikan penting, di sebalik cabaran ekonomi serta global.

Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad, prestasi eksport dan pelaburan antara indikator positif utama yang ditunjukkan menerusi usaha menaikkan siling.

"KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) juga telah menunjukkan prestasi yang baik di mana telah merekodkan kenaikan 1.2 peratus iaitu kepada 4.2 peratus berbanding 3 peratus pada tahun lepas, pada suku tahun sama, suku tahun pertama 2023 dan 2024.

"Pada masa sama juga, kita lihat kelulusan pelaburan asing yang dibawa masuk ke Malaysia juga telah meningkat 23 peratus dalam tempoh setahun ini, iaitu meningkat daripada lebih kurang RM300 bilion kepada RM330 bilion, yang mana merupakan satu jumlah yang amat baik," katanya kepada pemberita di sini.

Dasar Gaji Progresif juga menunjukkan kesungguhan kerajaan memastikan rakyat menerima pendapatan yang adil demi kualiti hidup bermakna.

Pada masa sama, menstruktur semula pemberian subsidi, termasuk bahan api yang berjaya mengurangkan ketirisan seterusnya meningkatkan penjimatan subsidi.

"Selain itu, segmen Ekonomi MADANI juga menekankan bantuan sara hidup di mana beberapa elaun telah ditambah nilainya mengikut kategori yang memberi manfaat kepada hampir setengah juta golongan B40 dan M40 serta belia yang mendapat bantuan ini," katanya.

Tambahnya, indikator positif yang ditunjukkan turut menyumbang kepada pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM