fb fb fb fb fb

Kerajaan siasat isu cip AI disekat AS

Foto Hiasan / Reuters

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Kerajaan sedang menyiasat kemungkinan pelanggaran undang-undang Malaysia berhubung penghantaran cip kecerdasan buatan (AI) yang disekat oleh Amerika Syarikat (AS) dari Singapura ke Malaysia.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan menegaskan Malaysia mematuhi semua peruntukan undang-undang perdagangan yang dipersetujui secara pelbagai hala.

"Malaysia mempunyai sistem kawal selia yang kukuh dalam memantau serta mengawal eksport dan perantaraan barang strategik di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010," menurut kenyataan itu.

MITI turut menegaskan pendirian Malaysia yang menolak sebarang usaha mengelak kawalan eksport atau aktiviti perdagangan haram, selain komited memastikan pelaburan berkaitan teknologi selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

Dalam pada itu, kementerian berkenaan akan terus bekerjasama dengan AS dan Singapura bagi menangani isu perdagangan melibatkan cip yang disekat.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan di Singapura didakwa mengandungi cip AI Nvidia sebelum dihantar ke Malaysia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN