fb fb fb fb fb

Keluaran getah asli meningkat

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 12 Julai - Pengeluaran getah asli meningkat 20.1 peratus pada Mei 2024 kepada 25,608 tan metrik berbanding 21,325 tan metrik setakat April lalu.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 6.1 peratus daripada 24,126 tan metrik, pada Mei 2023.

"Sektor pekebun kecil menyumbang 88.2 peratus kepada pengeluaran getah asli pada bulan dikaji Manakala selebihnya, disumbangakan sektor estet sebanyak 11.8 peratus.

"Secara amnya, sentimen pasaran dirangsang saranan lebih kukuh dalam pasaran hadapan getah serantau," katanya menerusi satu kenyataan.

Jualan kenderaan yang kukuh di China serta langkah rangsangan terkini bagi meningkatkan ekonomi negara tembok besar itu turut menyokong sentimen pasaran.

Menurut Jabatan Perangkaan, harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia naik 1.2 peratus hingga 3.2 peratus pada Mei 2024 berbanding April 2024.

Eksport getah asli pula bertambah 6.3 peratus kepada 50,796 tan metrik dengan China kekal sebagai destinasi utama eksport.

TETITIA YUSOFF