KUALA LUMPUR, 17 Ogos - Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024 melebihi jangkaan dan ekonomi berprestasi terbaik di ASEAN dalam tempoh tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peningkatan ketara itu dibina atas permulaan kukuh yang telah dilakukan kerajaan ada pada awal tahun.
"Angka tersebut turut mencerminkan keputusan yang dilakukan kerajaan dalam melakukan pembaharuan dan transformasi ekonomi. Ini termasuk tindakan memerangi rasuah, penyasaran semula subsidi dan mengejar pelaburan bernilai tinggi," kata Anwar menerusi hantaran di Facebook.
Tambah Anwar, dunia juga semakin mengambil perhatian bahawa Malaysia adalah destinasi pilihan untuk pelaburan global.
Ini termasuk pelaburan RM25 bilion daripada syarikat semikonduktor Jerman, Infineon, merangkumi kilang baharu untuk pengeluaran semikonduktor bernilai tinggi.