fb fb fb fb fb

KDNK 2024: Bank pelaburan unjur pertumbuhan 5.2 hingga 5.3 peratus

MIDF Amanah Investment Bank Bhd meramalkan bahawa ekonomi negara akan terus berkembang pada kadar lima peratus tahun ini / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Dua bank pelaburan mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024, susulan anggaran awal bagi suku ketiga yang diterbitkan semalam.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd meramalkan bahawa ekonomi negara akan terus berkembang pada kadar lima peratus tahun ini, disokong oleh peningkatan berterusan dalam perbelanjaan domestik dan pemulihan eksport.

Dalam nota penyelidikannya, bank itu menjelaskan bahawa anggaran awal 5.3 peratus bagi suku ketiga menunjukkan pertumbuhan melebihi lima peratus untuk dua suku berturut-turut.

Walau bagaimanapun, MIDF menganggarkan bahawa pengeluaran perlombongan yang lebih lemah akan mempengaruhi pertumbuhan KDNK bagi suku ketiga.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) juga menunjukkan pengembangan yang lebih perlahan.

Dalam pada itu, pengembangan yang lebih kukuh dalam perbelanjaan domestik berpotensi menjadi kejutan positif kepada unjuran KDNK, didorong oleh pasaran buruh yang positif dan penangguhan rasionalisasi subsidi RON95 sehingga pertengahan 2025.

Sementara itu, Maybank Investment Bank menyatakan bahawa anggaran awal itu konsisten dengan ramalan pertumbuhan setahun penuh pada kadar 5.2 peratus.

Berdasarkan andaian tersebut, pertumbuhan untuk suku ketiga dijangka mencatatkan purata 5.3 peratus, selepas merekodkan kadar 5.1 peratus untuk separuh pertama 2024.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN