KUALA LUMPUR, 11 Oktober- Kadar antara bank jangka pendek dijangka kekal stabil minggu depan disokong oleh operasi berterusan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyerap lebihan mudah tunai dari sistem kewangan.
Minggu ini, bank pusat memasuki pasaran setiap hari melalui operasi repo berbalik, repo berbalik Islam dan tender Murabahah semalaman bagi mengurangkan lebihan dana dalam sistem kewangan.
Bagi asas mingguan, lebihan mudah tunai dalam sistem konvensional meningkat kepada RM29.09 bilion daripada RM27.30 bilion pada Jumaat minggu lepas manakala lebihan mudah tunai dalam sistem Islam menyusut kepada RM19.89 bilion daripada RM25.70 bilion sebelumnya.
Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 2.75 peratus setakat 9 Okt, 2025. -BERNAMA