KUALA LUMPUR, 25 April- Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Mudah tunai dianggarkan sebanyak RM31.87 bilion dalam sistem konvensional dan RM20.17 bilion dalam dana Islam.
Hari ini, BNM akan menjalankan dua tender repo berbalik: tender bernilai RM2.9 bilion untuk tujuh hari dan RM1.5 bilion untuk 31 hari.
Ia turut mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan Murabahah Komoditi Bercagar untuk tempoh satu minggu, satu bulan dan tiga bulan.
Pada pukul 4.00 petang, BNM akan menjalankan tender semalaman konvensional sehingga RM36.3 bilion dan RM20.7 bilion dalam tender semalaman Murabahah. - BERNAMA