fb fb fb fb fb

Kadar inflasi Malaysia pada Oktober susut kepada 1.3 peratus

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 21 November- Inflasi Malaysia menyederhana kepada 1.3 peratus pada Oktober 2025, berbanding 1.5 peratus pada September lepas.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pertumbuhan perlahan itu disumbang terutamanya oleh kenaikan lebih sederhana kumpulan makanan & minuman (1.5%) dan kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.1%).

Beberapa kumpulan lain turut mencatat penurunan termasuk maklumat & komunikasi (-2.4%), pakaian & kasut (-0.3%) dan pengangkutan (-0.1%).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata 60 peratus daripada 573 item mencatat kenaikan harga, namun majoritinya meningkat tidak melebihi 10 peratus.

Inflasi makanan menunjukkan trend lebih perlahan, khususnya makanan di luar rumah (2.9%), manakala harga sayur-sayuran terus menurun (-6.0%), termasuk sawi Jepun, sawi dan salad.

Kumpulan pengangkutan kekal rendah susulan pelaksanaan subsidi bersasar BUDI95, yang membantu mengurangkan tekanan harga bahan api.

Enam negeri merekodkan inflasi melepasi paras nasional, antaranya Johor (1.9%), Negeri Sembilan (1.7%) dan Selangor (1.6%), manakala Kelantan mencatat kadar terendah 0.1 peratus.

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN