KUALA LUMPUR, 12 Disember -Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Lebihan mudah tunai dalam sistem konvensional meningkat kepada RM39.30 bilion berbanding RM38.06 bilion yang dicatatkan pada sebelah pagi, manakala kecairan dalam dana Islam menyusut kepada RM25.10 bilion daripada RM26.52 bilion.
Bank pusat itu turut melaksanakan dua tender repo berbalik dan dua tender repo berbalik Islam pada awal hari ini.
Pada 4 petang, BNM menjalankan tender pasaran wang konvensional sebanyak RM39.30 bilion dan tender pasaran wang Murabahah berjumlah RM25.10 bilion, kedua-duanya untuk wang tiga hari.
Kadar semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 2.75 peratus setakat 11 Disember, 2025. - BERNAMA