KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Mudah tunai dalam sistem konvensional turun kepada RM25.79 bilion daripada RM26.92 bilion pagi ini manakala mudah tunai dalam dana Islam meningkat kepada RM25.50 bilion daripada RM23.46 bilion sebelumnya.
Awal hari ini bank pusat menawarkan satu tender repo berbalik dan satu tender repo berbalik Islam.
BNM turut mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula selain kemudahan Murabahah komoditi bercagar bagi tempoh seminggu, sebulan dan tiga bulan.
Bank pusat menyemak semula tender semalaman murabahah daripada RM23.7 bilion kepada RM25.5 bilion.
Pada 4 petang, BNM menjalankan tender pasaran wang konvensional bernilai RM25.8 bilion dan tender pasaran wang Murabahah RM25.5 bilion, kedua-duanya bagi wang sehari.
Kadar semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 2.75 peratus setakat 8 Oktober, 2025.- BERNAMA