KUALA LUMPUR, 12 Disember- Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyerap lebihan mudah tunai dalam sistem kewangan.
Mudah tunai sistem konvensional meningkat kepada RM31.70 bilion daripada RM26.68 bilion pada sesi pagi, manakala mudah tunai dana Islam menurun kepada RM22.10 bilion daripada RM23.96 bilion sebelumnya.
Awal hari ini, bank pusat menawarkan dua tender repo berbalik.
BNM turut mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula dan kemudahan Murabahah Komoditi Bercagar dengan tempoh satu minggu, satu bulan dan tiga bulan.
Pada 4 petang, bank pusat menawarkan tender pasaran wang konvensional RM31.70 bilion dan tender pasaran wang Murabahah RM22.10 bilion kedua-duanya dengan tempoh matang satu hari.
BNM turut menyemak semula tender semalaman konvensional kepada RM31.7 bilion daripada RM30.7 bilion.
Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 3.00 peratus pada 11 Disember.- BERNAMA