KUALA LUMPUR, 2 Ogos - Proton Holdings Bhd (Proton) merekodkan jualan sebanyak 15,103 unit kenderaan pada Julai lalu, angka tertinggi sejak September 2022 bagi pasaran domestik dan eksport.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata ia menunjukkan permulaan kukuh Proton bagi separuh kedua tahun 2024 dan menguatkan kedudukannya di tempat kedua dalam carta jualan automotif tempatan.
"Jumlah jualan meningkat 37.3 peratus pada Julai, berbanding bulan sebelumnya. Penutupan kilang yang dirancang untuk aktiviti penambahbaikan operasi, memberi kesan kepada angka pengeluaran," katanya menerusi kenyataan.
Menurut Proton, untuk tempoh Januari hingga Julai lalu, jumlah jualan dicatatkan sebanyak 88,799 unit manakala jumlah volum industri (TIV)) dianggar sebanyak 73,761 unit.
Proton juga sedang merangka pelbagai perancangan untuk bulan-bulan yang akan datang, termasuk pelancaran Proton X70 2025 bulan ini.
Selain usaha berterusan untuk pelancaran model EV pertama Proton yang akan menjadi kereta elektrik pertama Malaysia.