fb fb fb fb fb

Inisiatif kluster industri Wilayah Tengah perkukuh ekosistem perindustrian

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 November -Inisiatif Pembangunan Kluster Industri Wilayah Tengah dijangka memperkukuh ekosistem perindustrian negara dengan memperdalam rantaian bekalan serta memperkasa perusahaan tempatan untuk berkembang.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Wilayah Tengah memiliki kekuatan asas yang kukuh dengan rangkaian pembekal, kemudahan logistik, makmal ujian, institusi pengajian tinggi serta rakan inovasi.

“Tugas kita ialah menghubungkan aset-aset ini, menutup jurang utama dan menumpukan sokongan awam kepada hasil yang jelas.

Sebuah kluster yang berdaya saing ialah ekosistem yang saling berhubung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pelaburan Utama: Inisiatif Pembangunan Kluster Industri Wilayah Tengah, di sini hari ini.

Tengku Datuk Seri Zafrul menjelaskan, pelaksanaan inisiatif itu akan memberi tumpuan kepada tiga sektor utama di mana Malaysia mempunyai kekuatan dan potensi pertumbuhan pesat di Wilayah Tengah.

Tiga sektor tersebut ialah Elektrikal dan Elektronik (E&E) yang menjadi tulang belakang industri negara, farmaseutikal dan produk perubatan, serta pembuatan makanan dan ekonomi halal.

Menurutnya, koridor KLIA–Subang–Serendah menjadi contoh terbaik bagaimana konsep kluster industri dapat berfungsi secara efektif.

“KLIA menumpukan kepada penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO), Subang kepada pembuatan serta latihan aeroangkasa, manakala Serendah membekalkan komponen berketepatan tinggi.

Dalam radius 50 kilometer, komponen bergerak pantas, bakat berkembang berdekatan dan idea tersebar cepat, sekali gus mengurangkan masa pengeluaran serta meningkatkan produktiviti,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif Wilayah Tengah memperlihatkan bagaimana tiga rangka kerja utama kerajaan saling bersepadu, iaitu Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), Strategi Pelaburan Hijau (GIS) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

Jelas beliau, sinergi ketiga-tiga pelan itu bukan sahaja memperkukuh keupayaan industri tempatan, malah menjadikan Malaysia antara hab pelaburan dan inovasi paling dinamik di rantau ASEAN.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN