KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Inisiatif yang diumumkan bawah Belanjawan 2026 dilihat mampu memberi manfaat besar kepada ekonomi domestik, khususnya dalam merancakkan aktiviti perniagaan tempatan, dan memperkukuh daya tahan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Asia School of Business, Profesor Dr Melati Nungsari berkata, kesinambungan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang turut disalurkan sebanyak RM100 pada Februari depan dijangka membantu meringankan beban rakyat, selain merancakkan perbelanjaan dalam negara.
“Saya rasa kesan sebenar daripada pelbagai langkah ini akan mengambil sedikit masa untuk kita lihat, terutamanya bagi inisiatif jangka panjang.
“Namun, dalam jangka pendek, bantuan seperti SARA serta pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 untuk pelancongan akan memberi manfaat besar kepada pengusaha tempatan, dan sudah tentu ramai yang akan berasa gembira dengan langkah ini,” katanya kepada pemberita RTM di sini.
Beliau berkata, tumpuan kerajaan terhadap PKS dalam dokumen kewangan itu, khususnya di negeri Sabah dan Sarawak mampu merancakkan pembangunan ekonomi di kedua-dua negeri berkenaan dengan memperkukuh peluang pekerjaan serta keupayaan rakyat tempatan.
“Saya berharap pelbagai inisiatif yang diumumkan untuk PKS, terutamanya yang melibatkan pengambilan dan latihan pekerja, akan membantu sektor ini secara berperingkat.
“Namun begitu, kita masih perlu menilai sejauh mana keberkesanan langkah-langkah ini dan pada tahap mana ia benar-benar memberi kesan terhadap ekonomi,” katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai pengumuman Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) yang menyediakan peruntukan RM20 juta bagi program pembiayaan mikro untuk pesara, beliau menyifatkan ia sebagai langkah proaktif seiring dengan unjuran Malaysia bakal menjadi negara tua menjelang 2048.
“Ramai rakyat Malaysia masih berdepan cabaran gaji rendah dan kekurangan simpanan untuk persaraan. Jadi, program latihan serta pembangunan kemahiran bagi warga emas ini amat baik untuk memastikan mereka kekal produktif dan mampu menjana pendapatan sendiri,” katanya.