KUALA LUMPUR, 7 November- Mengimbangi antara kebajikan rakyat serta melaksanakan penyatuan fiskal merupakan cabaran yang kompleks bagi kerajaan.
Justeru, Timbalan Setiausaha Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Kementerian Kewangan, Dr Nirwan Noh berkata, setiap pelaksanaan dasar memerlukan perancangan teliti dan menetapkan keutamaan sewajarnya, termasuk langkah rasionalisasi RON95.
"Rasionalisasi perlu dilakukan, penilaian semula setiap program subsidi juga harus dilaksana dan kita harus benar-benar membuat penilaian terhadap kumpulan sasar yang perlu dibantu.
"Jadi pendekatan yang diperhalusi ini perlu mengimbangi kebajikan sosial dan kemampanan fiskal untuk memastikan subsidi sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya", katanya pada webinar 'Refleksi MARC360: Analisis Belanjawan 2025 dan Perbahasan Pasca Belanjawan Malaysia'.
Jelasnya, langkah itu juga bertujuan mengelakkan ketirisan dan meningkatkan ketepatan dalam agihan subsidi.
Beliau turut memberitahu kerajaan sedang mempertimbangkan kaedah sama seperti penyasaran subsidi diesel, dengan pemberian bantuan tunai melalui e-dompet.