fb fb fb fb fb

Graduan TVET perlu manfaat teknologi cipta peluang baharu

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 November – Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) disaran memainkan peranan lebih besar sebagai pemacu ekonomi melalui penyertaan dalam perniagaan mikro dan keusahawanan setempat.

Pensyarah Teknousahawan Institut Kemahiran MARA (IKM) Kuala Lumpur, Muhammad Syukran Jamil, berkata kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif untuk melahirkan generasi usahawan TVET yang mampu bersaing di peringkat tempatan dan global.

Menurutnya, perniagaan kecil yang diwujudkan graduan TVET mampu memberi impak besar kepada ekonomi komuniti.

"Walaupun dia hanya membuka sebuah kedai kecil di sebuah kampung, perniagaan itu menggajikan sekurang-kurangnya dua orang.

"Usaha ini mengurangkan kebergantungan kepada industri atau syarikat besar dan mewujudkan perniagaan setempat yang membantu penduduk tempatan menjana pendapatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas program Bual Biz Malaysia di sini pada Isnin.

Tambah beliau, kerajaan juga mahu graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak hanya bergantung kepada pekerjaan 'makan gaji', sebaliknya menjadi usahawan teknikal atau technopreneur yang berjaya di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"Terutamanya dalam bidang yang mereka pelajari, seperti penyaman udara, elektrik, bakeri dan sebagainya, ini merupakan antara peralihan ekonomi daripada bergantung kepada gaji kepada menjana pendapatan sendiri," jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha kerajaan memperkukuh kerjasama antara TVET dan industri memainkan peranan besar dalam melahirkan usahawan teknologi yang bersedia bersaing di pasaran.

"Pelajar dapat belajar menggunakan teknologi terkini melalui kerjasama dengan pihak industri. Hasil daripada kerjasama ini, lebih banyak peluang perniagaan dapat diwujudkan, sekaligus membolehkan pelajar menguasai teknologi terkini dalam bidang industri," jelasnya lagi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD