fb fb fb fb fb

Ekonomi negara berkembang 3.3% pada suku ketiga 2023

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 17 November- Ekonomi Malaysia berkembang 3.3% pada suku ketiga 2023 berbanding 2.9% pada suku sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan lebih baik itu disokong permintaan domestik yang kekal berdaya tahan.

"Daripada sudut perbelanjaan, pengembangan dalam permintaan domestik didorong menerusi perbelanjaan sektor swasta dan awam."

"Pertumbuhan penggunaan swasta yang lebih tinggi mendapat manfaat daripada keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, dengan perluasan dalam keperluan perbelanjaan," kata Dr. Mohd Uzir kepada pemberita di ibu negara.

Tambahnya, prestasi eksport kekal perlahan berikutan kelemahan permintaan luaran yang berpanjangan.

Bagaimanapun, keadaan itu diimbangi kemasukan pelancong asing yang kembali pulih.

Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan, pembinaan dan pertanian kekal menyokong pertumbuhan seterusnya mengimbangi penurunan pengeluaran dalam sektor perkilangan.

Secara keseluruhan, ekonomi negara berkembang 3.9% pada tiga suku pertama 2023.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM