fb fb fb fb fb

Dividen ASB 2024, bukti ekonomi mengukuh - Penganalisis

Foto Kecil: Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad

KUALA LUMPUR, 25 Disember- Agihan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.75 sen seunit bagi 2024, mencerminkan pengukuhan ekonomi negara yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad, peningkatan hampir 9.5 peratus itu didorong faktor dalaman dan luaran ekonomi semasa.

Antaranya, prestasi memberangsangkan pasaran ekuiti Malaysia yang merekodkan peningkatan indeks hampir 11 peratus.

"Faktor dalaman kedua yang boleh kita lihat dalam aspek ini adalah dimana kemampuan dan kebolehan Kerajaan Madani dalam membawa masuk pelaburan asing dan juga pelaburan dalam negara yang merekodkan jumlah RM254 bilion bagi tempoh tahun 2024.

Yang paling menarik bagi tahun ini adalah kemampuan dan kebolehan pelaburan dalam negara mengatasi pelaburan asing," kata Dr. Bashir kepada pemberita RTM secara eksklusif dalam temu bual maya, hari ini.

Ini jelas menunjukkan kemampuan struktur asas ekonomi domestik negara yang berkembang pesat dan stabil.

Selain itu, dasar monetari dan fiskal yang konsisten bagi tempoh dua tahun seperti pengekalan Kadar Dasar Semalaman selama 18 bulan berturut-turut, menambahkan keyakinan para pelabur untuk terus melabur ke dalam negara.

Pengukuhan ringgit juga memberi kelebihan kepada syarikat tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan melabur di luar negara, seterusnya mendorong perolehan dividen lebih baik dan menyumbang kepada kenaikan dividen ASB.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM