KUALA LUMPUR, 13 Februari – DeepSeek, sebuah syarikat kecerdasan buatan (AI) dari China, membuka peluang baharu kepada pelabur kewangan yang berminat menyokong pertumbuhan perniagaan berasaskan AI di Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata peluang tersebut tidak hanya tertumpu pada teknologi semata-mata, sebaliknya modal memainkan peranan penting dalam mempercepatkan perkembangan industri AI.
"Agenda pendigitalan negara menarik perhatian syarikat teknologi global seperti Oracle, Microsoft, Google, dan Amazon, yang telah komited melabur AS$14.7 bilion. Ini membuktikan potensi Malaysia sebagai peneraju ekonomi digital di Asia Tenggara," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum AI Pan Pasifik Malaysia-Pelaburan dan AI dalam Dunia Berubah, di sini.
Tambah Fadillah, dengan mengurangkan halangan kepada penerimagunaan AI, DeepSeek mengupayakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menyepadukan teknologi tersebut dalam operasi mereka, sekali gus meningkatkan produktiviti dan daya saing global.
Forum AI Pan Pasifik Malaysia menghimpunkan wakil kerajaan, pemimpin industri AI, dan komuniti perniagaan bagi membincangkan pasaran baharu, isu perundangan, perkembangan teknologi, serta peluang pelaburan global, dengan fokus utama tahun ini tertumpu kepada kecerdasan buatan.