fb fb fb fb fb

Dagangan niaga hadapan emas dijangka alami pengambilan untung minggu depan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Mei- Dagangan kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan pengambilan untung minggu depan, dengan harga bergerak dari US$2,360 hingga US$2,400 setiap auns troy. (US$1=RM4.74)

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata memandangkan dolar Amerika Syarikat (AS) turun pada Jumaat, emas semakin dilihat sebagai jaminan bukannya spekulasi.

“Kami menyaksikan peralihan ini dalam pasaran kini, dengan harga emas meningkat hampir US$60 dalam tempoh 24 jam lepas (sehingga Jumaat). Walaupun tiada aset bergerak naik dalam pergerakan garis lurus, saya menjangkakan pengambilan untung pada awal minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata permintaan terhadap emas mungkin meningkat susulan dolar AS yang lemah berikutan data ekonomi tidak memberangsangkan.

“Ini boleh menandakan permulaan aliran yang lebih ketara terutama jika prospek ekonomi AS yang suram kembali memperoleh momentum. Saya menjangkakan harga emas di antara US$2,360 dengan US$2,400 setiap auns troy,” katanya.

Semasa minggu dagangan ini, kontrak hadapan emas domestik diniagakan tinggi kebanyakannya, menjejaki niaga hadapan emas COMEX dan susulan data senarai gaji bukan ladang AS yang lebih rendah berbanding jangkaan seperti yang dikeluarkan baru-baru ini.

Jumlah dagangan meningkat kepada 72 lot daripada 51 lot pada minggu lepas, manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 106 kontrak daripada 22 kontrak.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, kontrak Mei 2024 meningkat kepada US$2,380.80 setiap auns troy daripada US$2,311.0 setiap auns troy.

Jun 2024, Julai 2024, Ogos 2024 dan Oktober 2024 masing-masing ditutup tinggi kepada US$2,390.80 setiap auns troy berbanding US$2,322.6 setiap auns troy minggu lepas.

Berdasarkan penetapan pada sebelah petang oleh Persatuan Pasaran Jongkong London pada 9 Mei, harga emas fizikal berada pada US$2,325.70 setiap auns troy.
- BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI