fb fb fb fb fb

CTIM azam tingkat peranan dalam profesion percukaian

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 9 Julai- Institut Percukaian Malaysia (CTIM) komited untuk terus memperkasa dan mempertingkatkan peranannya dalam profesion percukaian.

Presidennya, Soh Lian Seng berkata, pihaknya akan memberi tumpuan meningkatkan perkhidmatan ahli seterusnya menyumbang kepada landskap ekonomi dan sosial Malaysia yang lebih meluas.

Beliau yang baru dilantik sebagai presiden bagi penggal 2024-2025 berkata, tiga matlamat utama ditetapkan untuk mencapai hasrat tersebut.

Ini termasuk memainkan peranan utama dalam dasar dan pembaharuan cukai serta menggalakkan kesedaran dan kefahaman orang ramai tentang percukaian.

"Kita hendaklah memainkan peranan yang proaktif bagi meningkatkan penglibatan bersama badan kerajaan, industri dan pihak berkepentingan lain untuk mempengaruhi dasar dan pembaharuan cukai.

"Ini bagi menghasilkan sistem cukai yang adil, cekap dan kondusif untuk pertumbuhan ekonomi,"katanya.

Beliau juga mencadangkan kerjasama dengan institusi pendidikan untuk menjadikan pendidikan cukai sebahagian daripada kurikulum dan menggalakkan celik cukai dalam kalangan pelajar.

Sementara itu katanya, CTIM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri akan menganjurkan Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 pada 22 dan 23 Julai ini yang dijangka dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE