fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia teruskan aliran meningkat pada awal dagangan

Foto Hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Januari- Bursa Malaysia memulakan dagangan Selasa dengan meneruskan momentum aliran peningkatannya, disokong oleh belian saham wajaran tinggi terpilih di tengah-tengah sentimen positif di pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 2.50 mata kepada 1,508.78 daripada 1,515.39 di akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 2.36 mata pada 1,517.75.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi iaitu 216 berbanding 213 manakala 314 kaunter tidak berubah; 1,515 tidak diniagakan dan 73 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 370.40 juta unit bernilai RM209.18 juta.

Sementara itu, Malacca Securities dalam nota penyelidikannya hari ini berkata FBM KLCI ditutup melepasi paras psikologi 1,500 semalam, didorong oleh harga tinggi, sekali gus meneruskan momentumnya untuk sesi keenam berturut-turut yang didahului oleh saham wajaran tinggi perbankan.

"Selain itu, pasaran saham Amerika Syarikat (AS) juga kian kukuh menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) negara maju itu (pada hari ini dan esok) serta pelaporan pendapatan oleh syarikat gergasi teknologi pada minggu ini.

"Kami percaya susulan keputusan mahkamah Hong Kong yang mengarahkan pembubaran Evergrande Group China, ini sebaliknya boleh menyebabkan sentimen menyeluruh menjadi negatif sekurang-kurangnya bagi masa terdekat dan berlakunya aktiviti pengambilan untung di peringkat tempatan," katanya.

Saham wajaran tinggi seperti Maybank naik 1.0 sen kepada RM9.24, Public Bank dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM4.41 dan RM6.22 manakala Tenaga Nasional turun 2.0 sen kepada RM10.48 dan IHH Healthcare susut 5.0 sen kepada RM6.10.

Bagi saham aktif, HE Group yang pertama kali disenaraikan di Pasaran ACE menambah 12.5 sen kepada 40.5 sen manakala YNH Property susut 12.5 sen kepada 40.5 sen, Widad Group turun setengah sen kepada 15 sen dan TWL Holdings tidak berubah pada 4.0 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 4.85 mata pada 11,286.03; Indeks FBMT 100 meraih 6.21 mata kepada 10,942.18; Indeks FBM 70 berkurangan 17.68 mata kepada 15,273.84; Indeks FBM Emas Shariah turun 4.82 mata kepada 11,326.61 dan Indeks FBM ACE menguncup 16.80 mata kepada 4,802.38.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Hartanah naik 1.79 mata kepada 930.69; Indeks Perladangan susut 20.49 mata kepada 7,242.11 dan Indeks Tenaga turun 1.32 mata kepada 882.24.

Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 7.59 mata kepada 16,950.17 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.08 mata kepada 174.8. - BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI