fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia susut pada tengah hari

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 22 September- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan ditutup rendah pada tengah hari ini berikutan kekurangan pemangkin baharu apabila para pelabur menunggu lebih banyak perkembangan dalam ekonomi global, kata seorang penganalisis.

Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.69 mata atau 0.12 peratus kepada 1,446.52 daripada paras penutup 1,448.21 pada Khamis.

Indeks petunjuk utama itu dibuka redah turun 2.33 mata kepada 1,445.88 dan bergerak antara paras 1,441.50 dan 1,447.79 sepanjang sesi dagangan pagi.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 376 berbanding 364, manakala 453 kaunter tidak berubah, 1,198 tidak diniagakan dan 49 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.69 bilion unit bernilai RM938.91 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota penyelidikan berkata sentimen di Wall Street menjadi negatif berikutan kebimbangan pelabur akan potensi kenaikan kadar susulan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dan kesannya dijangka menular ke pasaran tempatan.

“Bagaimanapun, kami berpandangan pemangkin domestik seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), ditambah dengan Belanjawan 2024 akan datang akan menyediakan sokongan belian dalam sektor tertentu sekurang-kurangnya untuk jangka masa terdekat,” katanya.

Dalam kalagan kaunter wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals turun dua sen setiap satu masing-masing kepada RM8.88 dan RM7.29,Public Bank susut dua sen kepada RM4.20, TNB naik dua sen kepada RM10.08 dan CIMB tidak berubah pada RM5.59.

Dalam kalangan kaunter cergas, KNM Group meningkat setengah sen kepada 12.5 sen, Ekovest menokok 2.5 sen kepada 59 sen, UEM Sunrise naik tiga sen kepada 91 sen, Iskandar Waterfront City menambah dua sen kepada 76.5 sen dan Mercury Securities Group susut setengah sen kepada 29.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 8.95 mata kepada 10,717.69, Indeks FBMT 100 susut 11.17 mata kepada 10,380.84, Indeks FBM 70 jatuh 11.46 mata kepada 14,276.10, Indeks FBM Emas Shariah merosot 13.93 mata kepada 10,958.54 dan Indeks FBM ACE susut 30.79 mata kepada 5,183.35.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 5.95 mata kepada 16,222.02, Indeks Perkhidmatan Produk Perindustrian jatuh 0.52 mata kepada 173.89.

Sementara itu, Indeks Perladangan meningkat 1.30 mata kepada 6,926.40 dan Indeks Tenaga naik 5.26 mata kepada 897.15. - BERNAMA


(FOTO HIASAN)

Media Baharu